Gangga Negara

Gangga Negara
Abad pertama–1025/1026
Ibu negaraBeruas
Bahasa yang umum digunakanBahasa Melayu Kuno
Agama
Hindu
KerajaanMonarchy
Sejarah 
• Didirikan
Abad pertama
• Dibubarkan
1025/1026
Sekarang sebahagian dariPerak Selangor Negeri Sembilan Kuala Lumpur Putrajaya Malaysia
Patung Buddha abad ke-6 (kiri) dijumpai di Ipoh. Patung sami guru Hindu abad ke-9 dijumpai di Jalong, Perak.

Gangga Negara dipercayai merupakan kerajaan Melayu - Hindu lama yang hilang dan ada disebut dalam Sejarah Melayu yang kini merangkumi Beruas, Dinding dan Manjung yang pada masa kini terletak di negeri Perak, Malaysia. Para penyelidik mempercayai bahawa kerajaan ini berpusat di Beruas dan ia runtuh selepas serangan oleh Raja Rajendra Chola I dari Coromandel, India Selatan di antara tahun 1025 dan 1026. Menurut sebuah lagi catatan sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa, Gangga Negara mungkin telah diasaskan oleh anak Merong Mahawangsa, Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah, yang dikatakan sebagai keturunan Iskandar Agung atau keluarga diraja Indo-Iranian tidak lewat dari abad ke-2.

Jabatan Muzium Negara telah mengkaji kerajaan Gangga Negara dari pelbagai aspek termasuk tradisi lisan yang terdapat di negeri Perak. Muzium Beruas ditugaskan untuk membuat penyelidikan dari sudut arkeologi.

Kerajaan Gangga Negara meliputi Beruas dan Dinding/ Manjung. Artifak arca-arca Buddha abad ke-5 dan ke-6 Masihi yang dijumpai di Beruas menunjukkan kewujudan kerajaan Gangga Negara ini. Kerajaan Gangga Negara ini berpusat di Beruas.

Pengasas Kerajaan Gangga Negara ialah Raja Ganjil Sarjuna dari Kedah. Pendapat lain mengatakan Kerajaan Gangga Negara diasaskan oleh Raja Aryan dari sub benua India.

Menurut kajian lain, dinyatakan bahawa Kerajaan Gangga Negara wujud tidak lewat dari abad ke-2 Masihi. Kerajaan Gangga Negara ini dipercayai terletak di daerah Dinding (Manjong), sekitar kawasan Selatan Gunung Bubu (1657 meter ) arah timur Bukit Segari di tepi Sungai Dendang. Pendapat ini juga menyebut kemungkinan pusat Kerajaan Gangga Negara berubah-ubah.

Berdasarkan taburan artifak-artifak purba yang ditemui dan pengaliran cabang Sungai Perak, kerajaan ini dipercayai pernah berpusat di Pengkalan ( Ipoh ), Lembah Kinta, Tanjung Rambutan, Bidor dan Sungai Siput.

Kewujudan Kerajaan Gangga Negara dan kemudiannya Kerajaan Melayu Beruas dipersetujui penyelidik sejarah pada masa kini. Kedua-dua kerajaan tua yang dikatakan pernah bertapak di bumi Beruas bukanlah suatu kisah dongeng ataupun mitos semata-mata. Ini berikutan beberapa peninggalan kesan sejarah mengenainya yang masih wujud di beberapa kawasan negeri Perak amnya dan Beruas khususnya.

Semua artifak dan gambar berkaitan dengan Beruas dipamerkan di Muzium Beruas.


© MMXXIII Rich X Search. We shall prevail. All rights reserved. Rich X Search